Friday, April 1, 2011

Kenyataan KPN tentang video seks mengelirukan rakyat


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) mengelirukan rakyat apabila mengeluarkan kenyataan bahawa video seks yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tulen dan tidak diubahsuai.
Kenyataan KPN itu amat dikesali kerana ia dilakukan sebagai cubaan memberikan gambaran seolah-olahnya Anwar terlibat dalam video itu sedangkan pada masa yang sama, pihak polis tidak pula menyiasat siapa pelakon dalam video itu.

Demikian dinyatakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurutnya lagi, AMK konsisten dengan pendirian bahawa polis sepatutnya awal-awal lagi menangkap segera trio ‘Datuk T’ kerana membuat tayangan video porno di khalayak ramai dan bukannya mengkaji kesahihan video itu semata-mata.
“Kita konsisten dengan pendirian bahawa tayangan video itu satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan Jenayah,” kata Shamsul.
Malahan, orang ramai juga sudah tahu bahawa pelakon dalam video itu bukan Anwar  kerana beliau sendiri sudah menafikannya.
Shamsul berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini bahawa video aksi seks yang ditayangkan trio ‘Datuk T’ dua minggu lalu itu adalah tulen.
Menurut Shamsul, kenyataan terbaru Ketua Polis Negara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah dijangka.
Malah, ia mengukuhkan lagi anggapan bahawa siri terbaru fitnah ini merupakan satu rekayasa politik peringkat tertinggi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis mengeluarkan kenyataan bahawa rakaman video itu adalah tulen tanpa mengulas lanjut siapa pelaku dalam video tersebut.
 Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10384

No comments: