Minda: Kemampuan dipersoal
KIRA-KIRA 10 tahun lalu, seorang pelajar sekolah agama di Kelantan dipukul gurunya kerana kesalahan kecil. Muhammad Jamaluddin, berusia 14 tahun ketika itu ditempeleng dan ditendang sebelum kepalanya dihentak dengan kerusi. Dia dikejarkan ke hospital dan kulit kepalanya terpaksa dijahit.
Kes Saiful Syazani Saifu Sopfidee pula lebih tragis. Murid berusia tujuh tahun ini meninggal dunia April lalu akibat dipukul dan didera gurunya yang kini menunggu hukuman mahkamah. Dia murid Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Perlis, salah satu daripada ratusan sekolah agama persendirian.
Ini adalah antara banyak kes penderaan yang kita dengar berlaku di sekolah sebegini, selain kekerapan berlakunya kebakaran dan kehilangan nyawa. Kita masih ingat kebakaran sekolah di Yan, Kedah pada 1987 yang meragut nyawa 20 murid.
Berikutan itu, beberapa pihak menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pengendalian sekolah agama persendirian. Yang perlu dikaji bukan saja soal keganasan dan keselamatan murid, tapi juga kelayakan dan tahap kemahiran guru, kurikulum dan perkara yang diajar kepada murid, serta prestasi sekolah. Saya sendiri menyokong cadangan ini demi masa depan pelajar dan kepentingan masyarakat.
Saya masih ingat betapa kecohnya ketika kerajaan membuat keputusan memberhentikan bantuan per kapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) sekitar 2003. Ada pihak menjaja isu ini sampai langit hampir runtuh hingga kerajaan dituduh anti-Islam.
Pihak berkenaan juga beriya-iya mempengaruhi Majlis Raja-Raja menyebelahinya, tapi apabila Raja-Raja Melayu tidak mempersetujuinya, pihak terbabit sanggup membuat pertemuan dengan kumpulan Dong Jiao Zhong yang terkenal sebagai kumpulan ultra-Cina dalam soal pendidikan.
Kerajaan kemudian mempelawa SAR diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan. Pihak berkenaan akhirnya akur kerana kelemahan sekolah agama persendirian begitu nyata.
Kajian meliputi 49 sekolah agama persendirian mendapati 90% guru tidak ada sijil perguruan. Sekitar 26% hanya ada Sijil Sekolah Menengah Agama atau SPM atau Empat Thanawi saja. Di kalangan pengetua pula, 47% tiada ijazah dan 57% tiada skim perkhidmatan yang jelas. Lebih 90% sekolah agama rakyat tiada makmal sains, 68% tiada padang, 45% berkeadaan daif dengan bilik darjah kecil dan 25% tiada perpustakaan.
Mungkin ada yang mendakwa sekolah agama persendirian kini ada yang dimodenkan, tapi hakikatnya sekian ramai murid Melayu-Islam masih berada dalam satu sistem pendidikan jumud, di luar pentadbiran Kementerian Pelajaran.
Pengajian sains dan teknologi, bahasa peradaban dan ilmu semasa tidak digalakkan atas alasan ia sekular, sedangkan dalam masa sama ramai anak-anak pihak yang menentang kerajaan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara mengambil pelbagai kursus yang tiada kaitan dengan pengajian al-Quran, syariah atau perundangan Islam.
Kita tidak sepatutnya bersubahat dengan mana-mana institusi pendidikan yang menyalahgunakan agama, apatah lagi yang tidak menghiraukan kebajikan dan pencapaian pelajar mereka. Kita memahami bahawa di peringkat awal dulu, keperluan pendidikan masyarakat Melayu adalah terbatas. Sebilangan kecil saja dapat melanjutkan pelajaran. Di zaman penjajah, orang biasa hantar anak ke sekolah Melayu yang terhad bilangannya manakala pembesar menghantar anak ke sekolah Inggeris.
Ada juga yang hantar anak ke sekolah pondok yang popular di kalangan penduduk Melayu luar bandar. Tetapi tidak ramai yang boleh berbuat begitu. Graduan sekolah pondok adalah daripada keluarga berada, sebab itu mereka boleh sambung pelajaran ke Mesir atau Makkah.
Lazimnya mereka buka pondok. Mereka digelar tok guru dan dihormati. Graduan yang tidak ke Timur Tengah akan pulang ke kampung sebagai tok lebai mengajar al-Quran atau mengetuai upacara keagamaan seperti tahlil dan urusan jenazah.
Dalam masyarakat tani yang miskin dan buta huruf sebelum merdeka, peranan tok guru dan tok lebai hanya mengajar al-Quran dan keperluan hukum-hakam. Mereka tidak peduli soal migrasi kaum pendatang ke Tanah Melayu, eksploitasi kekayaan negara oleh penjajah atau kemerdekaan tanah air.
Kesedaran ini ada pada graduan yang pulang dari Timur Tengah dan mendapat percikan kebangkitan Islam dipelopori Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Mereka tidak digelar tok guru, tidak buka pondok malah lebih tertumpu kepada gerakan kemerdekaan negara dan pembaharuan bangsa.
Selepas merdeka, pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan perumahan sangat banyak dan kompleks. Malaysia maju dalam pelbagai aspek. Dalam sebuah negara semakin maju seperti Malaysia, kebolehan bertahlil dan mengajar fardu ain saja tidak cukup untuk mencapai kemajuan dan menghadapi cabaran.
Tanpa berniat memperlekeh keupayaan mereka, hakikatnya tok guru dan lebai yang lahir daripada sistem pendidikan persendirian yang menentang kerajaan tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah penurunan mata wang akibat kemelesetan ekonomi atau mengurus negara di tengah kemelut politik nasional dan global.
Umat Islam tidak akan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan membentuk acuannya yang maju dengan sekadar keupayaan tok guru dan tok lebai. Mereka mesti menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan masyarakat kepada bimbingan dan petunjuk agama.
Tugas dan peranan ulama memang besar, terutama dalam membimbing masyarakat dalam soal agama dan kehidupan. Justeru, mereka perlu hadapi cabaran ini dengan penuh kesedaran. Mereka sewajarnya melengkapkan diri dalam pelbagai bidang ilmu agar dapat memberi pandangan dan bimbingan berkesan dan dinamik agar dapat membantu membina semula tamadun Islam.
Hakikatnya, tidak ramai ulama yang antikerajaan sanggup terima cabaran ini atau sanggup membina kekuatan ilmiah dan keintelektualan. Oleh itu, mereka tidak mampu memberi bimbingan, pandangan atau panduan yang dinamik. Mereka menjadi tidak relevan dalam menghadapi cabaran semasa dan global. Ketiadaan keupayaan ini menyebabkan mereka kembali kepada peranan lama. Mereka lebih cenderung menghadapi kemelut kehidupan zaman ini dengan doa dan wirid semata-mata daripada mendalami pengetahuan Islam.
Hari ini, usaha pihak berkenaan mengembalikan pengajian Islam dan membentuk minda masyarakat Islam supaya kembali ke zaman pendidikan jumud adalah satu malapetaka kepada masyarakat Islam. Jika begini, bagaimana generasi akan datang akan menghadapi cabaran baru serba canggih?
Pihak terbabit sepatutnya mempelajari tuntutan al-Quran dan memahami petunjuk dinamiknya dan bergerak dengan kebenaran. Minda quranik tidak bersifat putus asa. Ia tidak menarik masyarakat ke belakang semata-mata kerana tidak mampu melengkapkan diri dengan kekuatan baru.
Al-Quran sentiasa relevan. Justeru, petunjuknya mengenai ilmu, bukan hanya ilmu hafalan al-Quran dan ilmu berkaitan hukum yang ditekankan. Lebih jauh ialah ilmu sains dan teknologi, kejuruteraan, perubatan, teknologi maklumat, geografi, astronomi dan sebagainya.
Pakar dalam ilmu ini tidak harus berasa bersalah kerana kurang pengetahuan dalam bidang syariah. Mereka tidak harus melepaskan rasa bersalah itu kepada anak-anak dengan menghantar mereka ke pusat asuhan atau sekolah persendirian yang tidak sealiran dengan kerajaan dan meminggirkan mereka daripada arus pendidikan negara. Anak-anak akan menjadi mangsa kepada kelemahan dan kepincangan pendidikan yang dicipta oleh khayalan individu mengenai pendidikan Islam mithali.
Sebaliknya, kekurangan mereka dalam bidang Islam kerana mengambil jurusan profesional ditampung dengan berkhidmat secara jujur di lapangan mereka bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dan menjadikan kerja mereka di lapangan sebagai ibadah. Peluang anak-anak belajar mesti dibuka luas. Tindakan menutup peluang mereka belajar adalah satu penganiayaan.
Sebenarnya masyarakat Islam kita tidak perlu bergantung kepada sekolah persendirian yang bercanggah dengan sistem dianjurkan kerajaan untuk mendapat pendidikan Islam. Sekolah kebangsaan mampu memberi pendidikan bermutu dan seimbang di antara tuntutan fardu kifayah dan fardu ain.
1 comment:
kalau dah masuk geng sesat lagi menyesatkan, ugama tolak tepi.. yang penting buat fitnah banyak2 utk kekalkan kuasa dan pangkat..
Post a Comment