PERLANTIKAN MIRZAN MAHATHIR SEBAGAI AHLI LEMBAGA PENGARAH DAN PEMBELIAN SAHAM ARAK DALAM SYARIKAT SAN MIGUEL CORP, FILIPINA
Sekali lagi , kita rasa terkejut dan pilu dengan tersiarnya kenyataan Mirzan Mahathir melalui beberapa media yang mengesahkan penglibatan beliau di dalam sebuah industri pengeluaran arak. Beliau mendakwa bahawa perlantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan pemilikan 15% saham San Miguel Corp, Filipina, sebuah syarikat pengeluaran arak yang terbesar di negara tersebut, adalah semata-mata “urusan bisnes beliau semata-mata”. Beliau menganggap apa yang dilakukan tidak memberi implikasi kepada sikap dan anutan agama seorang.
Biro Pemahaman dan Penghayatan Agama KEADILAN ingin menjelaskan kedudukan perkara ini menurut syari’at Islam. Hakikatnya, pengharaman arak oleh Allah (SWT) adalah tidak sekadar meminumnya sahaja. Malah, ia melibatkan semua kegiatan yang berkaitan dengan penghasilan dan penjualannya. Arak juga tidak mengenal kuantiti sama ada banyak atau sedikit, hatta setitikpun, hukumnya tetap haram.
Di dalam Al-Qur’an, Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”. (Surah al-Ma’idah: 90).
Di dalam sebuah hadis dinyatakan:
“Rasulullah (SAW) melaknat tentang arak ke atas sepuluh golongan: (1) yang memerahnya; (2) yang minta diperahkan untuknya; (3) yang meminumnya; (4) yang membawanya; (5) yang minta dihantarinya; (6) yang menuangkannya; (7) yang menjualnya; (8) yang makan hartanya; (9) yang membelinya; (10) yang minta dibelikannya”. (Hadis riwayat Tarmizi dan ibn Majah).
Adalah jelas sikap Mirzan Mahathir menampakkan kejahilan dan ketidakprihatinan beliau mengenai halal dan haram dalam sesuatu urusniaga dan implikasinya dari segi akidah dan shari’at Islam disisi Allah (SWT). Nyata beliau hanya memikirkan keuntungan kebendaan dan dunia semata-mata. Biro ini ingin menegaskan bahawa sikap seperti ini hanyalah dapat diterima oleh doktrin sekularime Barat dan amat bertentangan dengan kehendak Islam yang meminta umatnya menghayati seluruh ajarannya secara kaffah (komprehensif).
Tindakan beliau, sudah pasti bukan sekadar mencemar imej diri, malah ia turut mencalar imej bapa beliau Tun Dr.Mahathir Mohammad (Mantan Perdana Menteri) yang acapkali mengangkat diri sebagai “fundamentalis Muslim”.
Kita amat dukacita dengan perkembangan ini. Ia berlaku di ketika banyak pihak sedang memperihatinkan usaha mendidik rakyat terutama generasi muda supaya tidak terlibat dengan kegiatan arak.
Alangkah indahnya, sekiranya Mirzan Mahathir dapat bertindak sebaiknya memperbetulkan keadaan ini dengan segera. Sebagai seorang usahawan Muslim dan anak seorang Negarawan besar, sewajarnya beliau mempamirkan “qudwah hasanah” (contoh teladan terbaik) di dalam urusan perniagaannya dan beriltizam kepada agama Islam yang suci.
No comments:
Post a Comment