Wednesday, March 9, 2011

Pengecut: Jika kempen lama, BN kalah teruk

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menganggap desakan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB-BN) Sarawak, Datuk Fadillah Yusof yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen pilihan raya di Sarawak dikurangkan kepada sekurang-kurangnya tujuh hari sebagai tindakan pengecut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad juga menganggap respon Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof  yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven.
“Pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau berlalu dengan aman,” ujarnya.
Begitu juga, katanya jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, berjalan dengan aman.
Katanya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.
Hakikatnya, ujar beliau tempoh kempen pilihan raya singkat sengaja dituntut berikutan rekod kekalahan teruk BN bila mana kempen pilihan raya diadakan dalam tempoh yang panjang.
Beliau berkata, BN Sarawak ternyata tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti besar dalam Dun sekiranya kempen pilihan raya diadakan selama dua minggu atau lebih.
Justeru, tambah beliau SPR seharusnya menilai tempoh pilihan raya secara realistik kerana tempoh yang pendek menyukarkan calon-calon berkempen untuk menemui semua pengundi-pengundinya.
Tambahnya lagi, tempoh masa yang singkat juga menyukarkan rakyat untuk menerima maklumat yang betul.
“Hal ini juga harus dilihat dalam keadaan negeri Sarawak itu sendiri yang begitu banyak kawasan pendalaman yang mengambil masa panjang untuk calon berkempen begitu juga dengan jentera SPR yang mahu membuat persiapan,” ujarnya.
Jelasnya, pilihan raya Dun dan umum di negara ini adalah hak semua rakyat, maka setiap rakyat harus diberikan peluang untuk menyertainya dalam keadaan yang selesa dan tidak tergesa-gesa.
Katanya, SPR adalah badan pengurus pilihan raya negara bukannya organisasi Pengurus Pilihanraya Kampus yang skopnya amat terhad.
Justeru, ujarnya PAS berharap agar SPR tidak membuat keputusan mengikut telunjuk BN.
“Soal keselamatan dan ketenteraman awam adalah tanggungjawab pihak polis, dan tugas SPR adalah untuk memastikan semua rakyat mendapat hak mereka untuk menerima maklumat dan menyertai proses pilihan raya,” ujarnya lagi.

No comments: