
RPK dijadualkan untuk berucap kepada MCLM pada jam 6 petang semalam di Bangkok. Sebelum ia bermula, RPK didampingi seorang pegawai polis dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan meminta agar RPK mengikutnya ke Kedutaan Besar untuk diambil keterangan. RPK dimaklumkan bahawa ACP Aziz dari Kuala Lumpur sedang menunggunya.
Sebelumnya, Timbalan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pegawainya telah meminta agar RPK memberi keterangan setelah mengetahui RPK akan muncul di Bangkok, menurutThe Star Online. Keterangan ini diambil berikutan laporan polis yang dibuat oleh satu pertubuhan bernama Jaringan Melayu Malaysia.
Bagaimanapun, dalam tulisan RPK di Malaysia Today, beliau berkata ada pihak telah membuat satu laporan polis berdasarkan "liputan Utusan Malaysia terhadap wawancara TV3 bersama RPK", yang menyebabkan dirinya diminta untuk diambil keterangan.

RPK bagaimanapun menafikan dirinya "membelot" dari perjuangan, malah Presiden MCLM Haris Ibrahim mendakwa wawancara yang disiarkan tersebut disunting sehingga "terpesong dari konteks sebenarnya". Namun demikian, wawancara tersebut memberi peluang kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk mendakwa bahawa nama dirinya telah dibersihkan.
No comments:
Post a Comment