Sunday, April 3, 2011

KEADILAN bertolak ansur isu pembahagian kerusi dengan SNAP


KUALA LUMPUR:  KEADILAN memutuskan untuk menyerahkan beberapa kerusi yang sepatutnya ditandingi parti itu, kepada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) tetapi bilangan sebenar  tidak dinyatakan.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mengakui keputusan itu mengecewakan sebahagian ahli dan penyokong parti tetapi komitmen KEADILAN untuk menamatkan regim Barisan Nasional (BN), lebih penting.
Beliau pada kenyataan media lewat petang ini, berkata keputusan itu diambil selepas  perbincangan untuk mewujudkan pakatan pembangkang tunggal di Sarawak dengan melibatkan SNAP, gagal menemui penyelesaian.
“Usaha mengadakan pakatan bersama SNAP berakhir dengan kekecewaan. Walaupun kami bertolak ansur, SNAP enggan membentuk pakatan menghadapi BN dalam pilihan raya Sarawak,” katanya.
SNAP bertegas mahu bertanding 27 kerusi, khususnya di kawasan majoriti Dayak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 16 April ini, daripada 51 kerusi yang masih di peringkat perbincangan antara SNAP dan KEADILAN. DAP bertanding 15 kerusi manakala PAS lima kerusi.
Menegaskan KEADILAN secara dasarnya mengiktiraf SNAP sebagai parti paling lama yang mewakili orang Sarawak, Tian juga percaya, kerjasama SNAP dan Pakatan Rakyat mampu mengembalikan parti itu ke persada politik Bumi Kenyalang.

Namun, katanya, ketegasan SNAP untuk bertanding 27 kerusi pilihan mereka, menyebabkan  perbincangan mengenai pembahagian kerusi, tidak menemui jalan penyelesaian.
“SNAP lebih berminat bertanding kebanyakan kerusi Dayak demi pertandingan semata-mata, dan bukannya untuk menewaskan BN. Jika tiada kesungguhan untuk mencapai kata sepakat, perkongsian yang adil tidak dapat dicapai,” katanya.
Tian turut membidas dakwaan SNAP, kononnya KEADILAN lambat berbincang soal pembahagian kerusi dan beliau percaya kenyataan itu bertujuan mengelirukan orang ramai.
“Begitu banyak surat dan mesej dihantar kepada pemimpin SNAP, semuanya tiada jawapan,” katanya yang berharap SNAP tetap enjadi sebahagian perjuangan Pakatan Rakyat dalam memastikan rakyat Sarawak mendapat pembelaan.
“Walaupun SNAP enggan menyatakan kesanggupan bersama untuk melawan Taib Mahmud dan BN, pintu perbincangan masih terbuka buat mereka,” kata Tian.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10539

No comments: