Saturday, April 23, 2011

BERSEDIA UNTUK MENGGANTIKAN TEMPAT ANWAR


MUKTAMAR PAS dijadualkan pada bulan Jun nanti dan saya merasakan tiada kehangatan di dalam pemilihan pimpinan kali ini sebagaimana Muktamar yang lalu. Mudah dijangka, Tuan Guru Hj Hadi Awang akan terus dikekalkan sebagai Presiden PAS kerana terbukti bahawa beliau sahaja setakat ini yang berwibawa memimpin PAS.

Mungkin tumpuan hangat hanya kepada jawatan Timbalan Presiden PAS yang besar kemungkinan Mat Sabu akan mencabar Us Nasha. Saya tidak bimbang dengan pemilihan pimpinan PAS kerana PAS telah membuktikan bahawa sehangat mana pun pertandingan di dalam jawatan tinggi parti tersebut, kesatuan di dalam PAS tetap utuh dan tiada seorang pun yang tewas terpinggir jauh sekali dari melompat parti. Inilah yang amat saya kagumi di dalam PAS yang tiada diperolehi dari mana-mana parti sekalipun di negara ini. Itulah hikmahnya berjuang kerana Allah bukan kerana jawatan dan kedudukan.

Walaupun Muktamar PAS kali ini tidak hangat, tetapi Muktamar kali ini adalah penentu kepada yang lebih besar iaitu menyediakan pemimpin yang benar-benar bersedia untuk berdepan dengan Umno terutamanya. Kita telah dibayangkan bahawa DS Anwar mungkin akan dianiayai lagi dengan begitu hebat tekanan yang dihadapinya sekarang. Kes fitnah liwat II masih belum selesai, timbul pula kes video seks yang kini hangat diperkatakan. Masakan di antara dua kes tersebut, mereka gagal kenakan DS Anwar walaupun satu kes?

Justeru itu, PAS harus bersedia mulai sekarang untuk menerajui PR dan meneruskan perjuangan yang dibawa oleh DS Anwar sekiranya beliau terperosok ke penjara sekali lagi. Kita berdoa agar beliau selamat dari dizalimi, namun kita harus juga mengenali puak-puak mereka yang tidak akan berhenti selagi DS Anwar masih memimpin kita. Sehubungan itu, Muktamar PAS kali ini harus menyediakan pimpinan yang benar-benar mampu memimpin PR sehingga ke Putrajaya. 

Memimpin PAS mungkin tiada masalah, tetapi memimpin PR bukan satu tugas yang ringan. Memimpin PR yang ada di bawahnya PKR dan DAP, memerlukan pemimpin yang bijak, diplomasi dan tegas. Saya yakin Tuan Guru Hj Hadi Awang mampu memikul amanah tersebut kerana beliau pastinya akan dibantu oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz yang begitu disukai oleh kaum-kaum bukan Melayu di dalam PR.Tetapi, siapakah pimpinan lain yang boleh bekerjasama dengan baik dan efisyen berganding dengan Tuan Guru Hj Hadi?

Pimpinan inilah yang diharapkan agar ahli-ahli PAS fikirkan supaya nanti PAS mampu menjadi ketua di dalam PR lebih baik dan berkesan setelah ketiadaan DS Anwar. Sudah tentu pemimpin ini mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan pimpinan PKR dan DAP. Maka, jawatan Timbalan Presiden PAS serta Naib-Naib Presiden PAS haruslah terdiri dari pemimpin seperti ini. Kali ini Muktamar PAS diharapkan sebagai Muktamar terakhir PAS sebagai Pembangkang di negara ini sebelum kita ke Putrajaya, InsyaAllah./wfauzdin.blogspot.com 

No comments: