KOTA BHARU, 18 Okt: Fitnah dilemparkan pemimpin Umno kononnya kerajaan Kelantan tidak pernah membina masjid sepanjang lebih 21 tahun di bawah teraju PAS, kini menjadi seumpama senjata makan tuan.
Ini kerana banyak masjid dibina kerajaan negeri juga digunakan mereka untuk menunaikan solat. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang atau lebih dikenali Masjid Beijing sekarang menjadi tumpuan pelancong.
Keunikan seni bina masjid yang bernilai RM9 juta itu tidak ada di tempat lain. Senibinanya menyerupai tokong Cina.
Begitu juga Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di Pulai Chondong, diimarakkan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz al Quran.
Penyokong Umno yang tinggal berdekatan juga menjadikan masjid tersebut tempat menunaikan solat Jumaat. Begitu juga Masjid Kota Darulnaim berhampiran kompleks Kota Darulnaim.
Manakala Masjid Keputeraan di Paloh 2, Gua Musang sedang dalam pembinaan. Ia dijangka menjadi destinasi persinggahan pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai apabila siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri juga merancang menyiapkan Masjid Keputeraan di Lojing dianggar membabitkan kos RM3.8 juta.
“Selain itu perancangan membina Masjid Sultan Muhammad V di Bandar Baru Tunjong. Masjid menyediakan medan kepada masyarakat dari sudut pembinaan akhlak, adab dan sakhsiah,” katanya ketika membentang Bajet 2012 pada persidangan Dun hari ini.
Teks ucapan belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.
Selain itu kata Menteri Besar peruntukan sebanyak RM3 juta disediakan bagi pembaikian masjid-masjid di seluruh Kelantan.
Menurutnya Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang berpotensi menjadi produk pelancongan.
Malah kata beliau sektor pelancongan kekal penyumbang utama menjanakan ekonomi negeri dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Pada 2010 seramai 5.39 juta pelancong bertandang ke Kelantan, berbanding 4.8 juta orang pada 2008 dan 4.94 juta orang (2009).
“Pelancong menyumbang sebanyak RM1.8 bilion kepada ekonomi negeri. Sehingga Ogos lalu seramai 3.35 juta pelancong melawat Kelantan termasuk 941,319 pelancong antarabangsa.
“Kerajaan akan menjadikan 2012 sebagai Tahun Melawat Kelantan bagi meningkatkan lagi kunjungan pelancong,” ujarnya.
Bagi mencapai matlamat tersebut sebanyak RM2.5 juta diperuntukan bagi program galakan kebudayaan, kesenian dan pelancongan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi pembelaan rakyat miskin dan RM1 juta bantuan bekalan air dan elektrik.
Manakala sebanyak RM5.5 juta bantuan rumah Dhuafat bagi membolehkan rakyat miskin membaiki dan membina rumah. Jumlah itu bertambah sebanyak RM800,000 berbanding sebelumnya.
Program bantuan beras percuma skim Al It’aam diperuntuk sebanyak RM2.5 juta, manakala program Gerbang Azziwaj (bantuan perkahwinan) (RM2 juta).
Program Gerbang Azziwaj diadakan mulai tahun ini ditambah sebanyak RM500,000 lagi berbanding bajet tahun lepas.
Manakala program-program lain iaitu;
. Bantuan armalah - RM2.5 juta
. Bantuan anak yatim - RM2 juta
. Bantuan khas orang miskin - RM1 juta
. Bantuan Am (bulanan) - RM6.38 juta
. Aktiviti belia dan pembangunan sukan - RM5 juta
. Bantuan kepada badan-badan sukarela - RM150,000
. Kebajikan orang bukan Islam dan Orang Asli - RM1.7 juta
. Kebajikan dan pembangunan wanita - RM2.5 juta
. Program latihan belia dan wanita - RM500,000
. Program Perumahan Awam Kos Rendah dan Mampu Milik - RM4 juta
ULASAN: Apa lagi yang ada pada UMNO kecuali fitnah, qazaf dan cerita-cerita seks. - MalaysiaWaves
No comments:
Post a Comment