Adakah kenaikan tarif elektrik dan kemungkinan peningkatan harga bahan api akibat harga minyak global yang terus melambung akan melewatkan pilihan raya umum ke-13 (PRU Ke-13)?
Pelbagai faktor dilontarkan dalam teka-teki sedemikian. Namun saya berpendapat, tidak kira sebesar mana kesan kenaikan tarif elektrik kepada rakyat jelata, Perdana Menteri Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengumumkan pembubaran Parlimen ke-12 dalam masa singkat - seawal bulan Jun tahun ini - ya, seawal bulan ini! Malahan saya menjangkakan dan berharap, PRU Ke-13 diadakan seawal bulan Julai tahun ini dan selewat-lewatnya akhir tahun ini juga.
Saya masih ingat, semasa teka-teki tarikh PRU Ke-12 mula menjadi hangat, pendapat sesetengah pihak adalah bahawa Parlimen ke-11 hanya akan dibubarkan selepas "projek koridor Pak Lah" menampakkan hasil pada peringkat awal yang dapat meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Pak Lah berkemampuan mentadbir urus ekonomi negara dengan baik dan berkesan. Maka PRU Ke-12 tidak akan diadakan seawal Mac 2008 seperti yang umum sedia maklum.
Sebagai imbasan ingatan, apa yang berlaku pada ketika itu adalah Parlimen ke-11 dibubarkan sejurus selepas pelancaran Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) di Bintulu Waterfront Prominade oleh Pak Lah. Dengan kata lain, Parlimen ke-11 dibubarkan pada 13 Februari 2008, dua hari selepas Pak Lah "menyempurnakan" pusingan pelancaran projek koridor selama dua tahun bermula dengan pengumuman Koridor Iskandar Malaysia pada 30 Julai 2006. Bukan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan.
Hari ini, kita telah menyaksikan pengumuman satu per satu pelan transformasi yang kononnya dapat mentransformasi ekonomi negara khususnya menaik-taraf Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Adakah Parlimen ke-12 hanya akan dibubarkan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan? Saya rasa tidak. Meskipun laporan satu per satu terus dipaparkan melalui akhbar harian mengenai apa yang bergelar "pencapaian KPI" pelan transformasi, kemajuan sebenar yang bermakna masih tidak kelihatan. Laporan akhbar sedemikian lebih merupakan propaganda daripada menonjolkan transformasi.
Rintangan transformasi datang dari UMNO-Putra
Semenjak krisis kewangan 1997/98, masalah struktur ekonomi negara terus diabaikan dan kitaran ekonomi sering dibangkitkan sebagai sesuatu yang semula jadi dalam arena ekonomi. Maka tiada kaitan langsung dengan rejim pemerintah yang korup. Setelah "khayalan wawasan 2020" berkecai dan rakyat jelata bangun dari "mimpi 2020" atau lebih tepat "jampi 2020", kedua-dua Perdana Menteri yakni Pak Lah dan Najib sedar bahawa transformasi ekonomi negara hanya akan terjadi apabila perubahan besar dilakukan. Namun, rintangan besar yang menghalang perubahan atau transformasi datang dari dalaman UMNO itu sendiri, khususnya golongan UMNO-putra dan kroni mereka.
Hari ini, apa yang menjadi rebutan golongan UMNO-putra ialah keterlibatan mereka dalam proses bergelar transformasi supaya projek-projek dan kontrak-kontrak diberikan kepada mereka, bukan pelaksanaan dasar ekonomi berdasarkan saranan awal Model Ekonomi Baru (MEB). Respons Pengerusi UDA Holdings Bhd Nur Jazlan Mohamed terhadap dakwaan berhubung projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) jelas memperlihatkan betapa ghairah dan tidak sabarnya golongan UMNO-putra dalam mengumpul kekayaan sebelum ketibaan PRU Ke-13.
Nur Jazlan mempersoalkan mengapa pemimpin PERKASA dan UMNO menuduh UDA Holdings mengetepikan keperluan syarikat Bumiputera dalam membangunkan projek bernilai RM6.7 bilion itu walaupun keputusan rasmi masih belum dibuat. Antara ungkapan Nur Jazlan seperti "saya juga ahli UMNO, ini bukan pembangkang yang serang kita, tapi ahli UMNO sendiri" dan "agenda Bumi ada kosnya dan UDA tidak boleh lagi untuk menanggung kos-kos ini", jelas membuktikan betapa tidak yakinnya golongan UMNO-putra dalam soal kemenangan PRU Ke-13 oleh UMNO-Barisan Nasional, khususnya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011.
Dalam konteks ini, Najib berhadapan dengan dilema yang sama dengan Pak Lah. Meskipun Pak Lah berjaya melancarkan senarai projek koridor dan Najib berjaya mengumumkan senarai pelan transformasi satu per satu, mustahil mereka yang merupakan pemimpin UMNO tidak tahu bahawa kelemahan struktur ekonomi negara tidak akan dapat ditangani selagi mentaliti golongan UMNO-putra masih memegang kuat kepada kuota Bumiputra demi kepentingan peribadi.
Dengan kata lain, jikalau PRU Ke13 tidak diadakan dalam tahun ini, apa yang akan dipertikaikan tahun depan bukan lagi sekadar soal inflasi tetapi termasuk kemajuan sebenar ekonomi dan pembangunan negara yang tidak dapat dijawab oleh Perdana Menteri melainkan jika politik talam dua muka diteruskan.
Bayangkan perasaan dan tekanan hidup golongan berpendapatan kurang daripada RM2,300 khususnya orang Melayu pada tahun depan apabila harga barangan utama dan harian semakin tidak terkawal sementara golongan UMNO-putra teruskan gaya hidup mewah selagi kuota Bumiputra dikekalkan untuk mengayakan mereka dan saranan asal MEB diketepikan.
Tarif elektrik di negara ini bakal dinaikkan setiap enam bulan. Ketidaktentuan harga minyak di pasaran dunia lebih besar pada tahun depan. Kerajaan Najib bukan sahaja berdepan dengan tekanan kenaikan harga minyak dan inflasi, tetapi juga berdepan dengan hutang negara dan defisit fisikal yang semakin tidak terkawal akibat keghairahan golongan UMNO-putra yang tidak terhingga dan tata kelola yang lemah.
Pengiraan kasar MerdekaReview pada akhir tahun 2010, mendapati bahawa "Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya."
UMNO-putra ada masa untuk kaut kekayaan
Lantaran itu, jika sekiranya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada tahun depan, golongan UMNO-putra mempunyai masa yang lebih untuk mengumpul kekayaan yang lebih sementara lubang hutang negara akan menjadi lebih besar. Kemarahan rakyat tidak akan diredakan biarpun PRU Ke-13 dilewatkan kepada tahun depan.
Jangan lagi Najib mimpikan perubahan pola pengundian bandar! Undi akan kekal diberi kepada Pakatan Rakyat. Jangan juga Pakatan Rakyat sekadar mimpikan perubahan pola pengundian desa tanpa gerak kerja seluas-luasnya dalam kawasan kampung Melayu, rumah panjang Iban dan Kadazan.
Sesungguhnya, persoalan "Bilakah PRU Ke-13 akan diadakan?" patut ditukar kepada "Bilakah PRU Ke-13 wajar diadakan?" Sebab satu sahaja: jangan kita biarkan kekayaan negara dikaut habis-habisan baharu didesak diadakan PRU Ke-13!
Ekonomi negara lemah kerana golongan UMNO-putra dan dasar UMNO yang mementingkan kepentingan peribadi. Golongan sedemikian juga mahukan PRU Ke-13 dilewatkan. Ayuh kita bangkit mendesak agar PRU Ke-13 dijalankan tahun ini! Biar kita selamatkan negara yang berada di ambang bahaya! Demi rakyat, demi generasi akan datang dan demi masa depan yang lebih cerah.
Segera kita bangun dari "jampi 2020"! Tanpa perubahan dan pembaharuan besar, Malaysia tidak akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Perubahan dan pembaharuan besar bermula dengan pertukaran rejim di peringkat Persekutuan. -MR
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
No comments:
Post a Comment