Monday, May 2, 2011

Hari memperingati tahap kebebasan akhbar Malaysia yang merosot


3 Mei, iaitu hari esok, diraikan oleh hampir seluruh dunia setiap tahun, terutamanya komuniti wartawan dan pencinta kebebasan akhbar dan bersuara, kerana ia merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Tapi di Malaysia, hari berkenaan seharusnya menjadi waktu semata-mata untuk memperingatkan diri kita bahawa tahap kebebasan akhbar di tanah air ini adalah memalu dan semakin mengaibkan. Tahun lepas Malaysia memperoleh tangga 141 seantero dunia, 10 takuk ke bawah dari tahun 2009.


Seolah-olah keaiban ini tidak mencukupi, Malaysia didapati berada di tingkat bawah daripada Singapura yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan akhbar yang tersekat.

Sesungguhnya, tahap kebebasan akhbar adalah penting kerana ia adalah salah satu petanda utama terhadap darjah demokrasi yang wujud dalam sesebuah negara yang menyifatkan dirinya demokratik.

Malaysia tidak ada sebab kukuh untuk merai dan merayakan hari tersebut lebih-lebih lagi pada masa-masa kebelakangan ini. Banyak benda yang berlaku yang sebenarnya mencabul kebebasan yang sepatutnya ada pada media, khususnya akhbar arus perdana. Malah ada benda yang berlaku dalam dunia persuratkhabaran Malaysia yang merendahkan martabat dan kredibiliti media arus perdana.

Satu contoh yang ketara dan terkini ialah isu yang berkaitan dengan skandal video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim. Akhbar arus perdana khususnya bukan sahaja melaporkan hal ini, malah "memperagakan" klip video lucah di dada akhbar tanpa segan silu walaupun menyedari bahawa pembacanya juga termasuk kanak-kanak atau makhluk yang berusia amat muda.

Ketibaan pemimpin luar negara, seperti Perdana Menteri China, di Malaysia nampaknya tidak berupaya "bersaing" dengan kisah video seks itu dari segi keutamaan politik dan "nilai berita".

"Kebebasan" menyiarkan foto dan berita begitu menonjol sekali dalam akhbar bukanlah menandakan satu pencapaian atau kemajuan dalam pemberitaan yang patut kita banggakan. Ini satu langkah ke belakang.

Kita mungkin boleh cuba "memaafkan" jika penonjolan kes video seks ini dilakukan oleh akhbar "panas" dan sensasi seperti News of the World di Britain. Tapi yang mengaibkan ialah ini melibatkan akhbar arus perdana Malaysia yang kononnya serius dalam usahanya untuk meluaskan pemikiran rakyat serta menggalakkan keintelektualan warga.

Akhbar yang leka dengan sensasi dan unsur fitnah sudah tentunya mencerminkan ketidaktanggungjawapannya di mata umum, selain daripada melanggar etika kewartawanan. Ini menjadi begitu ketara apabila pihak yang dicemarkan imej dan kedudukan sosialnya tidak diberi peluang untuk membela dirinya dalam akhbar berkenaan.

Kalaupun diberikan ruang, selalunya ruang ini amat sempit, ataupun pandangan pihak yang tercemar diperoleh melalui pihak ketiga, bukan secara langsung daripada individu yang tercemar itu.

Tindak-tanduk akhbar arus perdana yang tidak beretika menyerlah apabila negara mengalami pilihanraya (seperti di Sarawak baru-baru ini). Waktu inilah akhbar bersikap kurang adil dalam pemberitaannya dengan memberi layanan yang baik lagi lumayan kepada parti yang memerintah, iaitu Barisan Nasional; malah ada juga akhbar yang bersekongkol dengan pihak berkuasa dengan menjana bohongan dan herotan realiti.

Akhbar, seperti ramai sedia maklum, bukan hanya sekadar melaporkan tentang peristiwa yang berlaku atau isu yang timbul pada hari berkenaan, tetapi ia juga berperanan - pada tahap tertentu - menyogok agenda bagi masyarakat. Dengan kata lain, akhbar mempunyai peranan atau matlamat yang murni dalam mencari kebenaran dan keadilan bagi pihak ahli masyarakat; mendidik rakyat; menggalakkan perbincangan secara aman; dan juga menjana maklum balas umum terhadap dasar pemerintah.

Tetapi peranan murni ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin jika akhbar berkenaan berkelakuan tidak lebih daripada penerbitan gossip, mekanisme mencetus sentimen perkauman atau ekstremis, dan alat propaganda pihak yang berkuasa.

Dan akhbar akan masih mengalami kekurangan kudrat untuk memikul tanggungjawab murni ini selagi ada undang-undang yang mengekang pekerjaan wartawan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Wartawan tidak akan berupaya menjalankan kewartawanan penyiasatan selagi ada undang-undang di atas, khususnya PPPA dan OSA.

Dalam masyarakat yang pelbagai golongan etnik seperti Malaysia, akhbar mempunyai peranan yang penting dalam konteks luas di mana rakyat menginginkan keharmonian nasional dan etnik. Sesungguhnya, akhbar boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara golongan etnik dalam masyarakat.

Salah satu langkah yang boleh dianggap sebagai satu kemajuan dalam kewartawanan ialah jika ada usaha akhbar vernakular, seperti Sin Chiew Dailydan Tamil Nesan, misalnya, meluaskan skop pemberitaan serta perspektif politiknya yang menjangkau kepentingan komuniti bahasa berkenaan.

Ini juga bermakna bahawa rakyat yang bukan berbahasa ibunda berkenaan mempunyai akses secara langsung atau tidak langsung kepada akhbar berkenaan.

Tanggungjawab akhbar berbahasa Melayu menjadi lebih berat dan mustahak lagi kerana ianya menggunakan bahasa Melayu yang juga bertaraf bahasa nasional.

Dalam kes Utusan Malaysia, misalnya, ia bukan saja harus melayani kehendak "komuniti Melayu" tetapi juga kepentingan "komuniti Malaysia" yang membabitkan pelbagai golongan etnik seperti Cina, India, Kadazandusun, Iban, dll. Melalui penggunaan bahasa Melayu dan juga ruang lingkup yang lebih luas ini, akhbar berkenaan boleh menjana perasaan "keahlian" (atau stakeholder) bagi setiap warga negara ini. Keperluan kepelbagaian ini sebenarnya telahpun dirasai sebelum "era 1Malaysia" lagi.

Dengan kata lain, akhbar berbahasa Melayu khususnya, perlu bersikap lebih terbuka dan sanggup melayani kepentingan dan keperluan pelbagai kelompok yang wujud dalam masyarakat kita. Dengan cara ini, bahasa Melayu benar-benar dirasai "kebangsaan"nya oleh pelbagai rakyat negara ini, dan lantas ianya menyuburkan lagi bahasa nasional ini.

Seperkara lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Utusan Malaysiamencerminkan pandangan "komuniti Melayu" tidaklah tepat. Ini kerana tidak ada "satu pandangan" dari satu "komuniti Melayu". Apa yang wujud ialah pelbagai pandangan dari pelbagai kelompok, ideologi dan kelas sosial dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Pemberitaan dan penulisan Utusan Malaysia harus mencerminkan kepelbagaian ini.

Seperti umum sedia maklum, akhbar online menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia akibat daripada melesetnya kredibiliti akhbar arus perdana kerana, antara lain, kawalan pihak berkuasa. Keupayaan akhbar online untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin juga menjadi kayu ukur kepada darjah demokrasi negara ini.

Itulah sebabnya ancaman siber yang dihadapi oleh akhbar online, seperti yang berlaku pada Malaysiakini baru-baru ini, menjadi kebimbangan kepada wartawan dan juga pencinta kebebasan akhbar.

Melesetnya kedudukan kebebasan akhbar di negara ini juga mempunyai kaitan rapat dengan kuasa yang diberikan kepada pemerintah oleh undang-undang yang berkaitan dengan akhbar, seperti PPPA, OSA dsb. yang membolehkan kawalan ketat pemerintah terhadap media pada keseluruhannya.

Negara yang ingin mencapai cita-cita tinggi, iaitu taraf negara industri, maju dan saintifik, memerlukan pada keseluruhannya warga yang berhemah tinggi, waras, cerdek, berdaya saing tinggi, saintifik dan adil serta kritis.

Hanya akhbar dan media lain yang mempunyai daya intelek yang tinggi, fikiran terbuka, komitmen terhadap kebenaran dan keadilan, dan kredibiliti tinggi yang boleh melayani kehendak dan keperluan warga negara sedemikian rupa.

*Mustafa K Anuar ialah pembaca setia MerdekaReview, dan juga pemerhati media tanah air.

No comments: