Friday, May 13, 2011

Tak payah ajak PAS, Umno memang pecah belah


KUALA LUMPUR, 12 Mei: Para pemimpin Umno tidak perlu sibuk dengan usaha untuk membawa masuk PAS ke dalam BN kerana PAS tetap utuh dengan dasar perjuangannya yang suci sejak ditubuhkan dulu, berbanding Umno yang mengamalkan dasar pecah belah.

Sebaliknya, Umno perlu membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum berusaha ke arah itu bagi membolehkan Umno menilai diri sendiri yang selama ini penuh dengan pengkhianatan terhadap PAS yang juga dipimpin dan dianggotai orang-orang Melayu.


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata, masalah perpecahan dan perkelahian adalah masalah Umno sendiri dan ia ternyata berbeza sama sekali dengan PAS.

Menurut beliau, sebaliknya perjuangan politik PAS amat jelas sejak ditubuhkan dulu hingga selamanya yang tidak berkelahi dengan sesiapa termasuk bersama Umno, orang-orang Melayu serta kaum-kaum lain dan penganut-penganut agama lain.

Katanya, PAS adalah parti yang memperjuangkan prinsip-prinsip Islam yang tentunya merupakan prinsip-prinsip terbaik bagi seluruh manusia tanpa mengira kaum dan ia tentu berbeza sama sekali dengan perjuangan Umno.

"Jadi, berbalah itu memang cara Umno, bukan cara PAS. Kenapa pula dikatakan nak bawa masuk PAS ke dalam BN untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri. Sedangkan dalam PAS tak timbul itu semua," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama semalam yang mengatakan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berazam untuk membawa masuk PAS ke dalam BN sebagai usaha menyatupadukan orang Melayu.

Harapan beliau menerusi usaha itu ialah agar orang Melayu berhenti berbalah sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan kaum itu sendiri.

"Saya akan cuba usahakan perkara itu supaya PAS berada dalam BN, berhenti Melayu sama Melayu bergaduh (kerana) ia memenatkan, buang masa, membazir tenaga dan kerja bodoh," katanya dalam Forum 65 Tahun Umno, di Kuala Lumpur.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan seorang daripada panel forum yang diadakan bersempena dengan ulang tahun parti itu, bersama-sama dengan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia, Ustaz Fathul Bari.

Beliau berkata sekiranya PAS dan Umno bergabung, ia bukan saja menguntungkan orang Melayu tetapi kaum bukan Melayu juga turut meraih keuntungan apabila majoriti kaum di negara ini bersatu dan aman-damai.

"Kita tolak politik dan tumpukan soal pendidikan, perniagaan, perpaduan, ekonomi dan bangunkan negara ini bersama-sama," katanya.

Beliau juga berharap agar orang Melayu menjadi masyarakat yang maju menjelang tahun 2020 dan yakin Umno akan terus melaksanakan usaha ke arah mencapai impian tersebut selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju pada tahun tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas forum itu, Ahmad berkata, pilihan raya umum akan datang dijangka akan menjadi yang paling sengit dalam sejarah negara, bagaimanapun jangkaan itu akan meleset sekiranya PAS bersama-sama dengan Umno berjuang.

"Apa salahnya sekiranya PAS bersama-sama Umno sebagai kemuncak perpaduan. Bersempena dengan ulang tahun Umno ke-65 ini, saya ingin menyeru kepada semua parti ataupun badan bukan kerajaan Melayu supaya sepakat dalam perjuangan untuk terus membangunkan negara," katanya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, bukti terkini mengenai dasar Umno itu sendiri yang mengamalkan kaedah pecah belah boleh dirujuk dengan pemberian royalti petroleum kepada Kerajaan Terengganu dan Kelantan.

"Kalau Umno BN tak amalkan dasar pecah belah, kenapa royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan tidak diberikan sedangkan ia hak rakyat Kelantan, tetapi kenapa pula kepada Kerajaan Terengganu diberikan?

"Itu semua terjadi kerana dasar pecah belah yang diamalkan oleh Umno sendiri, walaupun sesama orang Melayu, hanya kerana Kelantan diperintahkan oleh PAS dan Terengganu di bawah pemerintahan BN," tegasnya.

Tindakan yang dilakukan oleh Umno BN terhadap Kerajaan Kelantan itu, kata beliau, jelas merupakan perkelahian yang diamalkan oleh Umno sendiri sesama orang Melayu dan ia bukannya dilakukan oleh PAS.


"Pada hal, sekiranya Umno faham dengan dasar perjuangan PAS dan betul dengan dasarnya sendiri, tidak akan timbul sebarang perbalahan walaupun berlainan parti," ujar beliau.

No comments: