Showing posts with label JAIS. Show all posts
Showing posts with label JAIS. Show all posts

Thursday, August 11, 2011

UMNO berlakon pejuang agama untuk pancing undi Melayu

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap tindakan media arus perdana mahu dilihat sebagai juara mempertahankan Islam dalam isu serbuan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebagai usaha untuk memancing undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau menyifatkan kenyataan media milik Umno dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali bin Abi Thalib k.w. sebagai “ucapan yang zahirnya benar tapi matlamatnya kebatilan.”
 

Pada 3 Ogos lalu, sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu gereja berkenaan di Seksyen 13, di sini ekoran kehadiran sekumpulan penganut Islam pada majlis makan malam anjuran gereja tersebut.
 

Menulis dalam Harakah keluaran terbaru, Hadi berkata matlamat media arus perdana dan Umno ialah untuk memancing undi Melayu Islam yang buta Al Quran bagi PRU ke 13.

Mereka mahu meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya Islam yang memerintah dan mentadbir.

“Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama tetapi kerana kononnya kesalahan berpolitik dalam masjid.

Memisahkan agama dengan politik

“Politik pula dipisahkan dari agama sama seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam,” terangnya.

Menurut beliau, ketika Islam dalam keadaan berkuasa di Madinah, Rasulullah saw mengizinkan penganut agama lain hidup dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadikan rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.

“Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya,” katanya.

Ujar Hadi, “berlaku zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram sehingga Rasulullah saw memberi amaran neraka kepada orang Islam yang mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.

Beliau lalu memetik ayat 40 dari Surah Al-Hajj, firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah biara- biara serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang didalamnya banyak disebut nama Allah.”

Rasulullah saw menafsirkan perintah Allah secara amalan; apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.

Beliau mengajak umat Islam membuka Al Quran dan mengamati ajaran Rasulullah saw dan para sahabat serta ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal yang sebenarnya, bukan melalui media dan pengampu di jalanan. - FMT


Tuesday, August 9, 2011

Serbu Gereja : Ini dia cerita sebenar ...

FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.


PETALING JAYA: Di sebalik kontroversi yang membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya minggu lalu, kini terdapat bukti yang menjelaskan keadaan sebenar pada majlis makan malam tersebut.

FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan bersifat ‘menguji pengetahuan’ dalam bahasa Malaysia dan Inggeris – sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.

Soalan yang tertera adalah menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti membabitkan; Nabi Muhammad, Al- Quran, rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.

Kertas dua halaman yang mengandungi 12 soalan itu didakwa diberikan kepada para peserta yang menyertai majlis makan malam tersebut yang turut disertai oleh penganut agama Islam.

Kertas tersebut dibahagi kepada empat corak soalan iaitu isi tempat kosong, beri jawapan ya/tidak, padanan jawapan dan pilihan jawapan.

Antara soalan itu adalah ‘Apakah maksud perkataan Islam, Muslim, Quran? Apakah enam perkara iman seseorang Muslim, solat lima waktu dalam Islam, malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dan tahun bilakah Nabi Muhammad dilahirkan.

Berapa banyak Surah dalam Al-Quran? Berapa kali nama Isa disebut di dalam Al-Quran dan kenapa orang Islam bersalam menggunakan sarung tangan?

Pendedahan itu dibuat oleh Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain yang mendakwa kepingan-kepingan kertas soalan itu ditemui dalam sebuah tong sampah.

Sambil mempertahankan tindakan Jais yang memeriksa gereja terbabit Dzulkhaini berkata turut menjadi tanda tanya apabila kertas soalan seperti itu diagihkan dalam majlis makan malam yang dikatakan untuk membantu golongan tidak bernasib baik dan memerlukan.

“Ketika kejadian itu terdapat kira-kira 100 orang dengan nisbah kehadiran satu perlima daripadanya adalah penganut Islam; 12 orang dewasa (tiga lelaki, sembilan wanita) dan lapan kanak-kanak,” katanya.

Beliau memberitahu apabila Jais masuk ke dalam, kertas soal jawab ini dah berkecai-kecai dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

“Kalau niat baik kenapa nak masuk tong sampah? Apabila masuk tong sampah, Jais sita untuk dijadikan maklumat (bukti) di mahkamah.

“Malah bila mereka ini keluar seorang demi seorang, Jais meminta kad pengenalan (IC) untuk dilihat. Jais tidak ambil kad pengenalan daripada kanak-kanak memandangkan mereka tidak ada IC. Tindakan Jais ini benar.

“Tidak berlaku mereka (Jais) pecah pintu, hal itu berlaku diluar gereja, dengan sasaran (orang). Namun masih ada yang melemparkan fitnah mengatakan Jais pecah pintu dan berlaku kekasaran,” jelasnya.

Nyanyian “Alhamdulillah”, “Allahuakhbar ”

Sementara itu, didapati tentatif program makan malam tersebut turut diselit nyanyian berupa lagu – Alhamdulillah dan Allahuakhbar.

Melalui penelitian FMT, program bermula jam 6.30 petang, Rabu lalu dan sepatutnya berakhir jam 9.55 malam seperti yang tersedia dalam tentatif program itu.

Turut diselitkan dalam tentatif program berkenaan ialah ucapan aluan daripada Paderi Kanan DUMC Daniel Ho serta beberapa pembentangan kertas kerja projek oleh beberapa peserta.

Kemudian bermulalah nyanyian ‘Alhamdulillah dan Allahuakhbar’ dan sesi sembahyang yang diakhiri dengan nyanyian lagu ‘Sejahtera Malaysia’.

“Adakah ini ada sangkut-paut dengan ‘thanksgiving’ dan ‘methodist’? Mengapa ayat-ayat yang diharamkan digunakan oleh orang bukan Islam dalam enakmen agama bukan Islam (kawalan perkembangan agama lain dikalangan orang Islam 1988).

Sesudah itu, pada pukul 9 15malam, berlaku satu upacara sembahyang ‘intercession’ iaitu gaya sembahyang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan Tuhan mereka.

“Ingat pada masa itu ada 20 penganut agama (Islam) kita termasuk kanak-kanak ada di tempat itu, terpesong atau tidak, akidah mereka? Terpesongkan?

“Perkara ini dikeruhkan lagi, ada soal jawab tentang apa dia agama Iislam, mengapa orang Kristian methodist perlu melakukan perkara ini?,” soal Dzulkhaini.

Pada Rabu lalu media melaporkan Paderi Kanan DUMC Daniel Ho menjelaskan bahawa majlis makan malam di gereja terbabit adalah dianjurkan atas semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. - FMT

Monday, August 8, 2011

Jangan bergeser sesama sendiri - Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU, 7 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan anggota parti supaya tidak ‘bergeser’ sesama sendiri kerana ianya akan memberi ruang pada pihak lawan.


Menurutnya, segala masaalah seharusnya diselesaikan dengan baik dan jangan sekali-kali memberi ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku kerana ianya akan memberi keuntungan pada mereka.


Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist di Damansara utama, baru-baru ini selepas menyampaikan sumbangan cek kepada tiga bekas pemain bola sepak Kelantan termasuk Inderaputera Mahayuddin.


“Saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini dan saya serahkan ianya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan kerajaan Selangor sendiri,” ujarnya.


Namun tambahnya, apa yang penting bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya memperbanyakkan amalan mulia serta membersihkan jiwa.

Penjelasan Tuan Guru Presiden tentang Isu JAIS dan Gereja

















PAS bukanlah sebuah parti yang mudah termakan dengan provokasi dan maklumat dari kaki lima. Namun PAS bertindak dengan lebih teliti dan cermat dalam apa juga isu khasnya yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan Islam atas dasar inilah PAS akan bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja bagi mendengar penjelasan mereka.


Akidah Islam bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Kita mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi. Walaupun ianya tidak 100 % selaras dengan Islam tetapi ianya sedikit sebanyak mampu untuk mempertahakan akidah Islam. PAS memang dari dahulu berusaha untuk mendaulatkan undang-undang Islam, namun ianya terhalang oleh kerana Umno sebagai tunggak kerajaan BN masih terus meminggirkan undang-undang Islam dan tidak mahu menyokong hasrat PAS untuk menegakkan hukum Islam. -mutaligat

Hasan Ali akan kekal Exco - TG Haji Hadi
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.


Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”


“Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).


“Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.


Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.


Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.


Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.


Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.


Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.


Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.


Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.


Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.


Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.


Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam.


The Malaysian Insider

Sunday, August 7, 2011

Isu JAIS – Satu Pandangan Bersangka Baik

Dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam, diharapkan cerita di bawah dapat sedikit sebanyak membantu memberikan pandangan ‘sangka baik’ kepada pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini.


Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini.


Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren.

Semasa air buah dihidangkan, taukeh yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan gelas yang ada jenama arak bermula huruf “G”.

Saya memintanya dengan baik untuk menukarkan gelas tersebut.

“Bos, Air ini halal, tapi gelasnya …. Akan mengundang syak wasangka dan fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai,” kata saya.

Terdapat 2 pengajaran di sebalik peristiwa ini,

Manusia seperti biasa mempunyai sangka buruk – apabila mereka ternampak saya meminum daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar Islam yang tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka bahawa sememangnya air dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren di sebuah restoran Melayu.

Dan taukeh pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak.

Pengajaran 1: Janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu.

Adakah saya bersalah sekiranya saya minum dari gelas arak tersebut?

Sudah tentunya ya, kerana saya telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum itu halal dari gelas yang bersih.

Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak daripada gelas tersebut,  lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren.

Pengajaran 2: Janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah

Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.

Isu serbuan JAIS menjadi satu polemik besar sehingga beberapa pihak melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan tersebut kerana dua perkara di atas.

Di pihak JAIS, sebagai sebuah badan pengawal agama perlu juga bertindak mengikut lunas paraturan dan prosedur yang ada.

Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen pencegahan mesti diteruskan.

Dalam kes tersebut, jika pihak JAIS telah bertindak berdasarkan maklumat yang dia perolehi, maka tindakannya adalah tepat; namun yang mendukacitakan ialah kesahihan maklumat yang diterima JAIS tidak dapat dipastikan.

Sebagai jabatan agama, mereka harus lebih berwaspada sama ada berita atau maklumat yang diterima adalah hanya berpunca daripada sangka buruk akibat iklim politik negara yang semakin buruk sebelum bertindak.

Segalanya mesti dilakukan dengan penuh ketelusan – laporan siapa, dibuat siapa dan atas alasan/bukti apa dakwaan itu perlu disiasat.

Lantaran itu, setiap laporan untuk tindakan mesti mengikut prosedur dan disahkan dahulu maklumat yang diterima – jangan terlalu mudah mempercayai fitnah akibat sangka buruk orang lain tanpa sebarang siasatan.

Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang eleman buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan JAIS sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.

Dan kepada orang-orang Islam yang berada di majlis tersebut, mereka juga kena muhasabah diri sama ada mereka telah secara tidak sengaja menimbulkan sangka buruk dan fitnah terhadap majlis makan malam dan gereja tersebut seperti cerita saya di atas.

Diharapkan JAIS dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini.  Mohon maaflah sekiranya tersilap.

Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat.