Friday, August 12, 2011

Menjawab Isu Larangan Bacaan Al-Quran Guna Sistem PA di P.Pinang

Saya yakin dan percaya akan tindakkan Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tentang Larangan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara ketika subuh di P.Pinang. Tindakkan yang sama ini juga yang mengikut hukum syarak, harus dipertimbang untuk dilaksanakan oleh negeri-negeri lain. Namun demikian, pendekatan dan cara yang digunakan oleh JHEAIPP dilihat sedikit drastik dan terburu-buru. 


Fahami semula pendirian saya tentang isu ini. Saya yakin, percaya dan sokong tindakkan JHEAIPP yang berani melaksanakan apa yang telah dibincangkan selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum ini, tetapi agak terkilan kerana cara dan pendekatan pihak JHEAIPP yang terus mengeluarkan pekeliling larangan pembacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.


Di bawah adalah petikan dari Berita Harian;


Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang putuskan amalan bertentangan hukum syarak


TASEK GELUGOR: Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.


Arahan itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lalu dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu dan diedarkan kepada semua jawatankuasa kariah masjid. -BHarian


Sefaham saya, Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dan didengar sahaja tetapi mesti difahami dan diamalkan, malah sistem perundangan juga wajib ikut lunas dari Al-quran untuk umat islam. Melaksanakan apa yang disuruh dalam Al-Quran itu adalah jauh lebih penting.


Saya bawakan untuk anda sebuah hadis sahih yang berbunyi;


Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (Al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih). 


Sebelum mengulas lebih panjang, saya reserve untuk tunggu dan lihat apa penjelasan daripada pihak JHEAIPP dan jawatankuasa Mufti Pulau Pinang kerana difahamkan akan ada sidang media dalam masa terdekat.

Thursday, August 11, 2011

The Star mengajak umat Islam berbuka puasa dengan masakan daging khinzir

Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang akhbarThe Star kerana penyiaran artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata dalam sisipan semalam, akhbar itu telah menyiarkan artikel bertajuk 'Ramadan Delights' yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.

Katanya KDN memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit.

"Kementerian memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk 'Ramadan Delights' itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akhbar tersebut telah mengakui kesilapan dan akan menyiarkan kenyataan memohon maaf di atas perkara itu.
-Bernama-

UMNO berlakon pejuang agama untuk pancing undi Melayu

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap tindakan media arus perdana mahu dilihat sebagai juara mempertahankan Islam dalam isu serbuan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebagai usaha untuk memancing undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau menyifatkan kenyataan media milik Umno dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali bin Abi Thalib k.w. sebagai “ucapan yang zahirnya benar tapi matlamatnya kebatilan.”
 

Pada 3 Ogos lalu, sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu gereja berkenaan di Seksyen 13, di sini ekoran kehadiran sekumpulan penganut Islam pada majlis makan malam anjuran gereja tersebut.
 

Menulis dalam Harakah keluaran terbaru, Hadi berkata matlamat media arus perdana dan Umno ialah untuk memancing undi Melayu Islam yang buta Al Quran bagi PRU ke 13.

Mereka mahu meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya Islam yang memerintah dan mentadbir.

“Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama tetapi kerana kononnya kesalahan berpolitik dalam masjid.

Memisahkan agama dengan politik

“Politik pula dipisahkan dari agama sama seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam,” terangnya.

Menurut beliau, ketika Islam dalam keadaan berkuasa di Madinah, Rasulullah saw mengizinkan penganut agama lain hidup dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadikan rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.

“Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya,” katanya.

Ujar Hadi, “berlaku zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram sehingga Rasulullah saw memberi amaran neraka kepada orang Islam yang mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.

Beliau lalu memetik ayat 40 dari Surah Al-Hajj, firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah biara- biara serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang didalamnya banyak disebut nama Allah.”

Rasulullah saw menafsirkan perintah Allah secara amalan; apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.

Beliau mengajak umat Islam membuka Al Quran dan mengamati ajaran Rasulullah saw dan para sahabat serta ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal yang sebenarnya, bukan melalui media dan pengampu di jalanan. - FMT


UMNO amat fobia TAZKIRAH RAMADHAN....

Umno sekat ilmu agama untuk kekal berkuasa
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Tindakan Umno BN yang menyekat perkembangan ilmu, terutama ilmu agama yang membabitkan tasauf, dari disebarkan di masjid-masjid amat dikesali kerana ia jelas bertujuan untuk membolehkan parti itu kekal berkuasa, walaupun jelas akan merugikan rakyat.


Dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh parti itu, rakyat negara ini pasti akan kerugian berpanjangan, terutama dari segi perkembangan kerohanian, peningkatan iman serta amal, jika terus berada di bawah pemerintahan Umno BN.


Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Norazli Musa menegaskan, tindakan Umno yang menyekat perkembangan ilmu di kalangan rakyat amat jelas apabila diteliti peraturan yang dikenakan oleh mereka bagi penyampaian tazkirah di masjid-masjid.


Menurut beliau, antara peraturan yang dikenakan itu termasuklah larangan kepada para penceramah menyampaikan ceramah-ceramah yang menyentuh perkara-perkara besar terutama tasauf dan kepentingan politik Islam kepada umat Islam.


Katanya, tindakan tersebut dilakukan untuk menjadikan rakyat jahil tentang tasauf dan ilmu politik Islam kerana jika rakyat memahami ilmu-ilmu itu dibimbangi rakyat tidak akan menyokong Umno BN dalam pilihanraya.


"Dengan itu, ceramah-ceramah agama yang didakan di masjid-masjid, di surau-surau di seluruh negara terutama yang membabitkan para penceramah yang menyokong Umno BN hanyalah membicarakan perkara-perkara kecil, rendah atau asas sahaja yang sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai.


"Antara perkara yang disentuh hanyalah seperti cara mengambil wuduk, jenis-jenis air, haid, nifas, nikah, kahwin dan sebagainya yang hanyalah perkara-perkara asas sahaja yang terdapat dalam ilmu fekah.


"Perkara-perkara lain yang besar, penting seperti tauhid, tasauf, politik Islam, jihad tidak boleh disampaikan kerana dilarang oleh para pemimpin Umno BN menerusi sekatan-sekatan tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung di masjid-masjid dan surau-surau," katanya ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.


Dengan keadaan itu, menurutnya, ceramah-ceramah yang diadakan di masjid-masjid, surau- surau yang dikuasai Umno BN itu dengan sendirinya tidak memerlukan penceramah-penceramah yang hebat.


Katanya, kalaupun penceramah-penceramah itu juga tergolong dalam golongan penceramah hebat seperti mufti, mereka juga tidak perlu membaca banyak kitab untuk meneliti banyak perkara besar kerana ceramah-ceramah yang perlu disampaikan hanyalah membabitkan perkara-perkara kecil sahaja.


"Dengan itu, secara langsung, jika terdapat soal jawab dalam ceramah tersebut sekiranya ada ruang soal jawab yang dibuka oleh penceramah kepada orang ramai, soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta juga tentu sekali hanyalah perkara-perkara kecil yang tidak menimbulkan sebarang kerumitan untuk dijawab oleh penceramah-penceramah itu," katanya.


Perkara itu, tegasnya, berbeza dengan ustaz haraqi yang tentunya boleh mengajar pelbagai bidang dalam Islam termasuk tauhid, fekah, usuludin, tasauf, politik Islam, jihad dan sebagainya, sejajar dengan tahap pengajian mereka yang tinggi yang meliputi pelbagai bidang pengajian dalam Islam.


Ceramah-ceramah yang melibatkan ustaz haraqi atau guru-guru tasauf itu, tegas beliau, tentunya bukan anjuran pihak yang mempunyai kaitan dengan Umno BN, tetapi PAS dan NGO-NGO Islam.


"Walaupun para pemimpin Umno BN berusaha keras untuk terus menjahilkan rakyat dalam agama terutama yang menyentuh tentang tasauf, politik Islam dan jihad untuk mengelakkan rakyat menentang mereka balik, PAS dan NGO-NGO Islam tetap berusaha mendokong perkembangan ilmu dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu di seluruh negara.


"Kalau di Kuala Lumpur, hanya nak belajar atau tak nak belajar sahaja, majlis-majlis ilmu anjuran PAS dan NGO-NGO Islam itu berada di mana-mana. Begitulah juga di tempat-tempat lain di seluruh negara," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Ipoh Barat.


Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Taliban menegaskan, setiap umat Islam perlu bijak mengambil peluang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu itu bagi menambah ilmu kerana ia sememangnya diadakan untuk setiap umat Islam yang juga untuk setiap manusia oleh pejuang-pejuang Islam.


"Tindakan para pejuang Islam tentunya berbeza sama sekali dengan pihak Umno. Kepada pejuang-pejuang Islam, setiap ilmu yang dimiliki apatah lagi ilmu-ilmu yang membabitkan perkara besar dan penting pasti akan diusahakan disebarkan kepada orang ramai, berbanding tindakan Umno BN yang hinggakan nak bagi kuliah pun nak menyusahkan," ujar beliau.


Baca ni [Video must watch] Umno cakap NO kepada Alquran

sumber 

Tuesday, August 9, 2011

Serbu Gereja : Ini dia cerita sebenar ...

FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.


PETALING JAYA: Di sebalik kontroversi yang membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya minggu lalu, kini terdapat bukti yang menjelaskan keadaan sebenar pada majlis makan malam tersebut.

FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan bersifat ‘menguji pengetahuan’ dalam bahasa Malaysia dan Inggeris – sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.

Soalan yang tertera adalah menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti membabitkan; Nabi Muhammad, Al- Quran, rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.

Kertas dua halaman yang mengandungi 12 soalan itu didakwa diberikan kepada para peserta yang menyertai majlis makan malam tersebut yang turut disertai oleh penganut agama Islam.

Kertas tersebut dibahagi kepada empat corak soalan iaitu isi tempat kosong, beri jawapan ya/tidak, padanan jawapan dan pilihan jawapan.

Antara soalan itu adalah ‘Apakah maksud perkataan Islam, Muslim, Quran? Apakah enam perkara iman seseorang Muslim, solat lima waktu dalam Islam, malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dan tahun bilakah Nabi Muhammad dilahirkan.

Berapa banyak Surah dalam Al-Quran? Berapa kali nama Isa disebut di dalam Al-Quran dan kenapa orang Islam bersalam menggunakan sarung tangan?

Pendedahan itu dibuat oleh Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain yang mendakwa kepingan-kepingan kertas soalan itu ditemui dalam sebuah tong sampah.

Sambil mempertahankan tindakan Jais yang memeriksa gereja terbabit Dzulkhaini berkata turut menjadi tanda tanya apabila kertas soalan seperti itu diagihkan dalam majlis makan malam yang dikatakan untuk membantu golongan tidak bernasib baik dan memerlukan.

“Ketika kejadian itu terdapat kira-kira 100 orang dengan nisbah kehadiran satu perlima daripadanya adalah penganut Islam; 12 orang dewasa (tiga lelaki, sembilan wanita) dan lapan kanak-kanak,” katanya.

Beliau memberitahu apabila Jais masuk ke dalam, kertas soal jawab ini dah berkecai-kecai dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

“Kalau niat baik kenapa nak masuk tong sampah? Apabila masuk tong sampah, Jais sita untuk dijadikan maklumat (bukti) di mahkamah.

“Malah bila mereka ini keluar seorang demi seorang, Jais meminta kad pengenalan (IC) untuk dilihat. Jais tidak ambil kad pengenalan daripada kanak-kanak memandangkan mereka tidak ada IC. Tindakan Jais ini benar.

“Tidak berlaku mereka (Jais) pecah pintu, hal itu berlaku diluar gereja, dengan sasaran (orang). Namun masih ada yang melemparkan fitnah mengatakan Jais pecah pintu dan berlaku kekasaran,” jelasnya.

Nyanyian “Alhamdulillah”, “Allahuakhbar ”

Sementara itu, didapati tentatif program makan malam tersebut turut diselit nyanyian berupa lagu – Alhamdulillah dan Allahuakhbar.

Melalui penelitian FMT, program bermula jam 6.30 petang, Rabu lalu dan sepatutnya berakhir jam 9.55 malam seperti yang tersedia dalam tentatif program itu.

Turut diselitkan dalam tentatif program berkenaan ialah ucapan aluan daripada Paderi Kanan DUMC Daniel Ho serta beberapa pembentangan kertas kerja projek oleh beberapa peserta.

Kemudian bermulalah nyanyian ‘Alhamdulillah dan Allahuakhbar’ dan sesi sembahyang yang diakhiri dengan nyanyian lagu ‘Sejahtera Malaysia’.

“Adakah ini ada sangkut-paut dengan ‘thanksgiving’ dan ‘methodist’? Mengapa ayat-ayat yang diharamkan digunakan oleh orang bukan Islam dalam enakmen agama bukan Islam (kawalan perkembangan agama lain dikalangan orang Islam 1988).

Sesudah itu, pada pukul 9 15malam, berlaku satu upacara sembahyang ‘intercession’ iaitu gaya sembahyang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan Tuhan mereka.

“Ingat pada masa itu ada 20 penganut agama (Islam) kita termasuk kanak-kanak ada di tempat itu, terpesong atau tidak, akidah mereka? Terpesongkan?

“Perkara ini dikeruhkan lagi, ada soal jawab tentang apa dia agama Iislam, mengapa orang Kristian methodist perlu melakukan perkara ini?,” soal Dzulkhaini.

Pada Rabu lalu media melaporkan Paderi Kanan DUMC Daniel Ho menjelaskan bahawa majlis makan malam di gereja terbabit adalah dianjurkan atas semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. - FMT

Monday, August 8, 2011

Menjawab pembohongan Puak-Puak Songkok Tiga Jengkal ..

Menyangkal dakwaan yang terdapat di dalam buku ‘Sejahterakah Kedah?’, antara yang dinyatakan termasuk mempertikaian cuti bersalin tiga bulan untuk wanita yang melahirkan anak. Cadangan tersebut satu langkah ke hadapan mendahului kerajaan pusat namun ianya tidak dapat dilaksanakan kerana ianya memerlukan penguatkuasaan di peringkat Persekutuan. Tertangguhnya perlaksanaan tersebut bukanlah atas kegagalan kerajaan negeri merealisasikan kandungan manifestonya tetapi tidak mendapat kelulusan dari di peringkat Persekutuan.


– (hampa yang tak lulus, lepas tu kelentong orang)


‘Sejahterakah Kedah’ mempertikaikan peranan kerajaan negeri dalam menangani masalah kebajikan rakyat. Sebenarnya, bantuan kafalah yang sedang dilaksanakan sekarang tidak dijanjikan di dalam manifesto malah bantuannya menyeluruh tidak hanya kepada warga emas tetapi merangkumi rakyat miskin tidak mengira umur, agama, bangsa dan fahaman politik.


– (orang UMNO mai ambik awai-awai lagi…)


Menurunkan cukai tanah sehingga 50 peratus juga merupakan kebajikan kepada rakyat yang tidak termaktub di dalam manifesto. Pertikaian yang diajukan oleh ‘Sejahterakah Kedah’ adalah tidak wajar dengan hanya memberi perangkaan selama tiga tahun sedangkan hal-hal kebajikan terutama untuk membasmi kemiskinan sepatutnya sudah bermula sejak dahulu lagi.


– (kalau ikut hampa bukan nak peturun, penaik lagi ada..janji hampa kaya…rakyat papa)


Umpamanya bantuan kepada mangsa banjir pada tahun 2010, kerenah birokrasi sebenarnya diujudkan oleh pihak kerajaan Pusat sendiri. Jabatan Kebajikan masyarakat adalah hak bersama Negeri dan Pusat. Bagi Negeri semua penyaluran bantuan adalah terurus, tersusun, licin dan paling sistematik. Penyaluran bantuan yang bermasalah ialah yang dilakukan dilakukan secara terus oleh Pusat dan bukan melalui kerajaan negeri. Sekiranya bantuan gagal disalurkan kepada yang berhak atau tercicir di tengah jalan ianya tiada kaitan dengan kerajaan negeri.


Istilah yang digunakan ‘pilih kasih’ mungkin benar ujud tetapi bukan atas kuasa kerajaan negeri kerana kerajaan persekutuan menyalurkan melalui UMNO APCO dan sekiranya ianya hilang entah kemana, Penulis upahan ‘Sejahterakah Kedah?’ kena tanya kepada yang berkenaan bukan kepada kerajaan negeri.


–(dah hampa sapu setengah, buat-buat tanya…yang rumah tak kena banjir pun hampa pi bagi pasai suku sakat hampa…yang benar-benar mangsa banjir..tak dapat pasai orang PAS)


Menyentuh bantuan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah agama dan pondok-pondok, tidak masuk dek akal sekiranya usaha tersebut dikatakan membantu institusi pengajian yang ditarbiah untuk menjadi penyokong PAS. Penulis upahan ‘Sejahterakah Kedah’ terlupa kata-katanya itu sebenarnya menjerat diri mereka sendiri yang secara umumnya memberi jawapan kepada rakyat bahawa sekatan bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang mereka laksanakan dulu, sebenarnya ada unsur politik.


–(Sebab hampa tau..bila orang pandai agama, orang tak sokong hampa dah.. tu hampa suka sekolah agama mati, biar tak ada orang pandai agama, janji ramai yang boleh putaq alam macam hampa…sedang hampa nak kelentong)


Sekiranya penulis ‘Sejahterakah Kedah’ mengatakan kerajaan negeri lebih dari menyambung apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, secara amnya memang begitu kerana perancangan dan perlaksanaan yang dibuat oleh sesebuah negeri mestilah mengikut peraturan yang telah termaktub. Bukan boleh dilakukan mengikut kepala sendiri dengan membelakangkan keperluan-keperluan terdahulu.


– (lainlah Tok Bashah, yang tak tau peraturan….)


Apa pun bagi Puteri, buku ‘Sejahterakah Kedah’ tak ubah seperti gimik politik ketandusan isu. Berhujjah bukan atas dasar fakta tapi hanya berlandaskan iri hati yang meluap-meluap kepada Pakatan Rakyat. Sememangnya BN/UMNO APCO cukup resah bila negeri diperintah selain dari mereka…kerana mereka tahu..sekiranya Pakatan Rakyat mampu melaksanakan kebajikan rakyat, bebas rasuah, adil dan telus, sudah tentulah…..hasrat BN/UMNO APCO nak ambil balik akan menghadapi jalan buntu…kecualilah kalau hantu-hantu dan warga-warga asing dijadikan geng sekali gus boleh mengundi….maka jadilah BN/UMNO APCO ni wakil rakyat hantu dan PATI….Kedah La

Apakah pimpinan Umno hari ini terlalu suci dan qudus

Ramadhan yang Sekular?
Tindakan pihak tertentu yang menjadikan sesi tazkirah semasa sembahyang terawih sebagai ruang menyampaikan ceramah berunsur politik amat dikesali. Exco kerajaan negeri Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata terdapat banyak aduan daripada orang ramai berhubung perkara itu sejak umat Islam melakukan ibadat puasa Isnin lepas.


"Masjid atau surau bukannya tempat untuk pembangkang mengadakan tazkirah berunsurkan politik seperti menghina atau mengutuk kerajaan, dan ianya bukanlah pentas untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan sempena bulan Ramadan kepada masjid, surau dan pusat tahfiz, di Kuantan hari ini. 

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) telah diminta untuk menyiasat perkara berkenaan. "Kita minta orang ramai terutama jemaah masjid atau surau supaya segera memaklumkannya kepada Jaip sekiranya terdapat sesi tazkirah sedemikian. "Perkara ini boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dalam masyarakat serta menjurus kepada perpecahan umat Islam. Ceramah sedemikian juga mengganggu emosi jemaah yang hadir untuk menunaikan solat terawih," katanya. 


Lambat sangat ke juak-juak Umno nak faham. Dah lebih 50 tahun merdeka tetapi kepala masih lagi berselaput dengan pemikiran assobiyyah Umno. Sebelum PRU 12 dahulu negeri Selangor antara negeri yang terkenal gam penceramah dan pentazkirah. Setiap surau dan masjid ditampal amaran jangan bertazkirah dan jangan diundang tokoh-tokoh tertentu termasuk ulama terkenal dan popular seperti Datuk Haron Din dan bekas mufti Allahyarham Datuk Ishak Baharom. Tetapi akhirnya Allah menumbangkan kerajaan Umno-BN di Selangor.


Nampaknya tindakan yang sama cuba dipraktikkan di Pahang. Sebelum PRU 12, mereka tak peduli pun. Bagi mereka ceramah dan tazkirah ni tak menjadi kudis gatal buat mereka. Macam mencurah air didaun keladi. Tak menjejaskan kuasa politik Umno-BN tetapi selepas tsunami politik Pru ke 12 mereka mula mengambil langkah-langkah untuk menghalang kesedaran dan kebangkitan rakyat terhadap kezaliman dan pengkhianatan Umno-BN selama ini.


Dalam Islam tazkirah merupakan nadi ummah. Apatah lagi Islam merupakan agama nasihat menasihati. Menasihati manusia agar kembali kepada Kitabullah dan Hadis Rasulullah Saw. Menegur para pemimpin dan umat Islam secara keseluruhannya. Imam Ghazali sendiri pernah berpesan “Jangan sekali-kali kamu melepasi 3 hari tanpa tazkirah nescaya buta matahati kamu”. 


Dan sepatutnya para pemimpin meniru gaya pemerintahan Abu Bakar, Umar dan para sahabat yang terdahulu yang mereka mengucapkan terimakasih apabila rakyat menegurnya meskipun dihadapan orang ramai atau diatas mimbar. Mereka tidak ditangkap, dipenjara atau di ISAkan. Bahkan mereka mengucap syukur kepada Allah kerana ada orang yang mengasihi mereka kerana Allah meskipun mereka sanggup menegur dengan pedang mereka.


Tazkirah ini bukan hanya bab haidh & nifas saje. bukan bab ibadah sahaja. Tetapi mencakupi segenap bidang kehidupan apatah lagi politik pemerintahan yang menjadi fungsi penting manusia diutus atas mukabumi ini iaitu menjadi khalifah. Tetapi pemimpin Umno membawa agenda sama seperti penjajah, melarang anak jajahan berbicara soal politik. semua diserah kepada Mat Salleh. Orang melayu hanya berhak berbicara tentang adat istiadat melayu dan hal ehwal agama Islam sahaja. Lebih daripada itu dilarang. Apatah lagi mengkritik pimpinan. Kotak pemikiran sekular amat sukar untuk dibersihkan.


Sama juga dengan mimbar-mimbar jumaat kita. Jangan disentuh politiknya. Habis masa mana nak diperingatkan para ummah? Atau para pemimpin pun dah jadi golongan yang dilarang menyentuhnya? Apakah pimpinan Umno hari ini terlalu suci dan qudus. Tak layak ditegur?... atau memang sudah sampai tanda-tanda ajal Umno untu Be End. USB

Jangan bergeser sesama sendiri - Tok Guru Nik Aziz

KOTA BHARU, 7 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan anggota parti supaya tidak ‘bergeser’ sesama sendiri kerana ianya akan memberi ruang pada pihak lawan.


Menurutnya, segala masaalah seharusnya diselesaikan dengan baik dan jangan sekali-kali memberi ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku kerana ianya akan memberi keuntungan pada mereka.


Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist di Damansara utama, baru-baru ini selepas menyampaikan sumbangan cek kepada tiga bekas pemain bola sepak Kelantan termasuk Inderaputera Mahayuddin.


“Saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini dan saya serahkan ianya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan kerajaan Selangor sendiri,” ujarnya.


Namun tambahnya, apa yang penting bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya memperbanyakkan amalan mulia serta membersihkan jiwa.

Penjelasan Tuan Guru Presiden tentang Isu JAIS dan Gereja

















PAS bukanlah sebuah parti yang mudah termakan dengan provokasi dan maklumat dari kaki lima. Namun PAS bertindak dengan lebih teliti dan cermat dalam apa juga isu khasnya yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan Islam atas dasar inilah PAS akan bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja bagi mendengar penjelasan mereka.


Akidah Islam bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Kita mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi. Walaupun ianya tidak 100 % selaras dengan Islam tetapi ianya sedikit sebanyak mampu untuk mempertahakan akidah Islam. PAS memang dari dahulu berusaha untuk mendaulatkan undang-undang Islam, namun ianya terhalang oleh kerana Umno sebagai tunggak kerajaan BN masih terus meminggirkan undang-undang Islam dan tidak mahu menyokong hasrat PAS untuk menegakkan hukum Islam. -mutaligat

Hasan Ali akan kekal Exco - TG Haji Hadi
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.


Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”


“Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).


“Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.


Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.


Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.


Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.


Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.


Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.


Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.


Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.


Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.


Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.


Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam.


The Malaysian Insider

Sunday, August 7, 2011

Isu JAIS – Satu Pandangan Bersangka Baik

Dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam, diharapkan cerita di bawah dapat sedikit sebanyak membantu memberikan pandangan ‘sangka baik’ kepada pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini.


Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini.


Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren.

Semasa air buah dihidangkan, taukeh yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan gelas yang ada jenama arak bermula huruf “G”.

Saya memintanya dengan baik untuk menukarkan gelas tersebut.

“Bos, Air ini halal, tapi gelasnya …. Akan mengundang syak wasangka dan fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai,” kata saya.

Terdapat 2 pengajaran di sebalik peristiwa ini,

Manusia seperti biasa mempunyai sangka buruk – apabila mereka ternampak saya meminum daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar Islam yang tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka bahawa sememangnya air dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren di sebuah restoran Melayu.

Dan taukeh pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak.

Pengajaran 1: Janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu.

Adakah saya bersalah sekiranya saya minum dari gelas arak tersebut?

Sudah tentunya ya, kerana saya telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum itu halal dari gelas yang bersih.

Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak daripada gelas tersebut,  lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren.

Pengajaran 2: Janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah

Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.

Isu serbuan JAIS menjadi satu polemik besar sehingga beberapa pihak melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan tersebut kerana dua perkara di atas.

Di pihak JAIS, sebagai sebuah badan pengawal agama perlu juga bertindak mengikut lunas paraturan dan prosedur yang ada.

Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen pencegahan mesti diteruskan.

Dalam kes tersebut, jika pihak JAIS telah bertindak berdasarkan maklumat yang dia perolehi, maka tindakannya adalah tepat; namun yang mendukacitakan ialah kesahihan maklumat yang diterima JAIS tidak dapat dipastikan.

Sebagai jabatan agama, mereka harus lebih berwaspada sama ada berita atau maklumat yang diterima adalah hanya berpunca daripada sangka buruk akibat iklim politik negara yang semakin buruk sebelum bertindak.

Segalanya mesti dilakukan dengan penuh ketelusan – laporan siapa, dibuat siapa dan atas alasan/bukti apa dakwaan itu perlu disiasat.

Lantaran itu, setiap laporan untuk tindakan mesti mengikut prosedur dan disahkan dahulu maklumat yang diterima – jangan terlalu mudah mempercayai fitnah akibat sangka buruk orang lain tanpa sebarang siasatan.

Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang eleman buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan JAIS sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.

Dan kepada orang-orang Islam yang berada di majlis tersebut, mereka juga kena muhasabah diri sama ada mereka telah secara tidak sengaja menimbulkan sangka buruk dan fitnah terhadap majlis makan malam dan gereja tersebut seperti cerita saya di atas.

Diharapkan JAIS dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini.  Mohon maaflah sekiranya tersilap.

Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat.